Sunday, January 6, 2013

Uwais al-Qarni : Anak yang taat kepada ibunya terkenal di langit.

Bismillihirrahmanirrahim.. Assalammualaikum.

Alhamdulillah syukur dengan kurniaan Allah pada hari ini yang bertarikh 23 Safar 1434 Hijrah bersamaan dengan 6 Januari 2013 Masihi saya masih diberi kesempatan untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. Cuaca hari ini agak panas dan tidak seperti hari-hari sebelum ini. Mana boleh tiap-tiap hari nak cuaca yang mendamaikan je. Namun begitu masih bersyukur tidak kira sejuk mahupun panas, alhamdulillah.

Okay kita lanjutkan ke perenggan yang seterusnya. Pernah tak membaca satu kisah tentang tabii yang bernama Uwais al-Qarni? Okay kalau tak pernah baca, hari ini saya nak kongsikan ilmu yang saya dapat, yang tak seberapa tentang pemuda ini.

Uwais al-Qarni ini seorang pemuda yang telah memeluk Islam semasa hayat Nabi Muhammad SAW. Beliau berasal dari Qaran di Yaman. Walaupun dia telah memeluk Islam sebelum kewafatan Baginda SAW namun sekali pun dia tidak pernah untuk bersua muka dengan nabi. Beliau merupakan seorang anak yatim yang tiada saudara mara melainkan ibunya yang tua dan lumpuh.

Beliau seorang pengembala kambing dan mendapat upah yang amat sederhana, yang hanya cukup untuk keperluan seharian dia dan ibunya sahaja. Jika dia mempunyai rezeki yang lebih, dia akan membantu jiran-jiranya yang miskin dan serba kekurangan. Walaupun sibuk dengan tugas hariannya, dia tidak sekali kali mengabaikan ibadahnya.

Dalam kehidupannya dia mempunyai satu keinginan iaitu untuk menyatakan baiah setianya kepada Rasulullah SAW secara langsung. Timbul kesedihan dihatinya apabila dia melihat mereka yang baru pulang dari Madinah selepas bertemu dengan Rasulullah SAW. Sedangkan dia belum berkesempatan kerana dia tak mampu untuk menyediakan bekalan semasa perjalanannya ke Madinah dan ditambah pula dengan tanggungjawabnya terhadap ibunya yang uzur itu.

Bukti kecintaan beliau bahawa beliau sangat mengasihi Baginda SAW. Apabila dia mendapat berita tentang gigi Rasulullah patah semasa di perang Uhud akibat daripada dilempar batu oleh musuh-musuh, beliau juga memukul giginya dengan batu sehingga patah.

Tiba suatu hari kerinduannya kepada kekasih Allah SWT itu tidak dapat dibendung. Dia telah meminta izin dari ibunya untuk bertemu Rasulullah di Madinah dan ibunya telah memberi keizinan untuk bertemu dengan Rasulullah SAW. Beliau segera bersiap untuk perjalanannya ke Madinah. Dia juga tidak lupa untuk menyediakan keperluan untuk ibunya dan telah berpesan kepada jiran-jirannya agar dapat membantu menguruskan ibunya selama ketiadaannya.

Perjalanannya untuk ke Madinah ditempuh dengan kecekalan dan semangat yang tinggi sehinggalah beliau sampai di depan pintu rumah Baginda SAW. Diketuknya pintu rumah Baginda SAW sambil mengucapkan salam. Sayidatina Aisyah r.ha, menjawap salam beliau. Dengan segera dia bertanyakan tentang Rasulullah. Namun ternyata Baginda SAW masih di medan perang, betapa sedihnya hati beliau ketika itu. Hatinya bercampur-baur sama ada hendak tunggu sehingga Baginda SAW pulang atau segera pulang ke Yaman. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk pulang ke Yaman kerana mengenangkan ibunya.

Sepulangan Baginda SAW dari medan perang, Baginda SAW terus menanyakan tentang orang yang datang mencarinya. Mendengar perkhabaran dari Aisyah r.ha, memang benar bahawa Uwais al-Qarni ada mencarinya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Kalaulah kalian ingin berjumpa dengan Uwais al-Qarni, perhatikan tanda putih yang terdapat ditengah tengah telapak tanganya."

Sesudah itu Baginda SAW memandang Sayidina Ali r.a dan Sayidina Umar r.a, lantas bersabda yang bermaksud, "Suatu ketika, apabila kalian bertemu dengan dia, mohonlah doa dan istighfarnya kerana doanya dimustajabkan Allah SWT."

Setelah kewafatan Baginda SAW, setiap kali rombongan yang hadir dari Yaman akan disoal oleh Sayidina Ali r.a dan Sayidina Umar r.a mengenai Uwais al-Qarni. Dengan kuasa Allah SWT sahabat berdua ini telah bertemu dengan Uwais al-Qarni. Mereka telah meminta doa dan istighfar dari beliau, manakala beliau meminta kepada mereka berdua supaya dirinya tidak dimasyhurkan kepada umum.

Sebenarnya panjang kisah Uwais al-Qarni, beliau tergolong dalam kalangan wali Allah SWT. Sewaktu beliau meninggal dunia. Ramai orang yang tidak dikenali ingin menguruskan jenazah beliau. Kemungkinan bahawa orang yang tidak kenali itu merupakan para malaikat yang diutuskan oleh Allah SWT untuk mengurus jenazah wali sepertinya, kerana Uwais al-Qarni terkenal di sisi Allah SWT dan penghuni langit. Wallahualam. Assalammualaikum.

Tambahan :- Nilai Murni.

Seseorang yang benar-benar beriman akan mecintai Rasulullah SAW lebih dari dirinya sendiri. Orang yang benar-benar beriman juga hanya mendambakan keredhaan dari Allah SWT semata-mata. Allah SWT juga menyediakan ganjaran yang besar buat anak-anak yang bertanggungjawab kepada kedua ibu bapanya. Keikhasan dalam beribadat membuatkan diri akan mengelak daripada mendapat kemasyhuran dunia. Keikhlasan dan bersungguh-sungguh dalam ibadat akan dikurniakan bantuan oleh Allah SWT ketika dalam keadaan susah.

**Ingatlah wahai anak-anak bahawa keredhaan Allah SWT itu terletak pada keredhaan kedua orang tua kita.

*Semoga entri ini dapat memberi pengajaran dan manfaat kepada anda.

No comments:

Post a Comment